Walaupun isu ini sudah lama berlalu namun penulis percaya mungkin ada diantara pembaca yang masih tidak tahu akan kebenaran disebalik isu ‘tingkat empat’ tersebut, justeru itu penulis cuba membongkarkannya agar pembaca boleh menilai dari pihak mana kebenaran itu berada…
Diantara dakwaan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi… isu pengaruh ‘tingkat empat’ di Jabatan Perdana Menteri atau lebih tepat ‘orang-orang Khairy Jamaluddin’ dianggap adalah yang paling serius.
Tanpa menyebut nama Naib Ketua Pemuda itu, bekas Perdana Menteri beberapa kali mengulangi mengenai mereka yang kelulusan Universiti Oxford dan para pegawai di tingkat empat yang dakwanya lebih berkuasa dari tingkat lima iaitu pejabat Perdana Menteri
Malah dakwaan mengenai Khairy mempengaruhi keputusan-keputusan kerajaan dan dalam urusan perniagaan menjadi desas desus panas dan buah mulut orang.
Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-100 di Putrajaya Jumaat Abdullah yang ditanya mengenai hal ini berkata, "menantu saya bukan penasihat saya. Dulu dia bekerja dengan saya. Mungkin sebagai pekerja di bawah saya, tentulah dia terlibat untuk membuat analisis dan memberi pandangan berhubung macam-macam perkara.
"Sekarang dia tak bekerja lagi dengan saya. Dia sudah berhenti, dia tahu orang bising sangat. Dia tak kena mengena lagi. Jadi apa (kenapa) tuduhan-tuduhan itu dibuat," katanya.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa beliau tidak boleh mengelak daripada berdepan dengan pelbagai pihak yang cuba mempengaruhinya, namun segala keputusan dibuatnya sendiri, setelah memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara.
Khairy, mula berkhidmat dengan Abdullah pada 1999 sebagai penulis ucapan dan kemudian dilantik pegawai khas semasa Abdullah merupakan Timbalan Perdana Menteri. Beliau meletak jawatan sebagai timbalan ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri merangkap pengarah Bahagian Polisi dan Komunikasi, pada Jun 2004.
Ditanya sama ada beliau terguris dengan cakap-cakap seumpama itu, Abdullah berkata: "Saya dengar macam-macam orang cakap. Kita pun ada perasaan, kadang-kadang kita rasa sedih juga, bila macam-macam keluar. Tapi saya dapat mengawal diri."
Perdana Menteri bagaimanapun berkata beliau tidak akan membiarkan dirinya dipengaruhi sehingga wujud keadaan kelam-kabut yang membuatkannya susah hati dan seterusnya menjejaskan kerja beliau.
Katanya beliau bekerja dengan suara hati yang jelas dan membuatkan orang melihat beliau sentiasa tenang.
"Saya tak buat keputusan untuk ambil harta orang, saya tak buat keputusan untuk menyusahkan orang. Saya buat keputusan apa yang saya fikir baik," jelas Abdullah.
Sambil berkata beliau mendengar pandangan pelbagai pihak, Abdullah mengakui biasa mendengar pandangan Khairy, umpamanya, berhubung pemikiran dan pandangan Pergerakan Pemuda Umno tentang perkara-perkara tertentu. Khairy ialah Naib Ketua Pemuda.
"Itu biasalah, semua orang bercakap dengan saya. Semua orang hendak menasihati perdana menteri, apa yang perdana menteri perlu lakukan," kata Perdana Menteri yang menyenaraikan rakyat, ahli politik dan pihak pembangkang sebagai antara orang yang cuba mempengaruhi beliau.
"Tidak ada perdana menteri yang bebas daripada percubaan pelbagai pihak untuk mempengaruhinya, termasuk mempengaruhi supaya kita terima (luluskan) kontrak dia," katanya.
Abdullah menegaskan bahawa walau apa yang berlaku, keputusan mengenai sesuatu perkara itu tetap dibuatnya sendiri.
Beliau menarik perhatian bahawa tidak akan ada seratus peratus orang yang bersetuju dengan keputusan yang diambil kerajaan.
"Asalkan majoriti tahu bahawa kerja dijalankan dengan baik, beserta niat dan tujuan yang baik, hanya kerana negara dan bangsa," kata beliau.
Perdana Menteri berkata menteri-menteri Kabinet juga membuat keputusan mengikut bidang tugas masing-masing dan mereka tidak harus lepas tangan daripada memikul tanggungjawab itu.
Menteri yang lepas tangan dan menyerahkan segala keputusan kepada perdana menteri tidak sepatutnya menjadi menteri, tegas beliau.
"Sayapun kalau serah kepada semua orang untuk buat keputusan, tak payah jadi perdana menteri, buat apa. Baik buat kerja lain. Jadi perdana menteri tak buat apa, hari-hari orang duduk mengata. Buat apa susah-susah," katanya.
Namun, Abdullah menekankan hakikat bahawa beliau berkhidmat dengan sebaik-baiknya dalam menerajui negara ini.
"Saya hendak buat yang itu, hendak buat yang ini. Macam-macam yang saya hendak lakukan. Maka saya gunakan akal saya untuk memikirkan apa yang terbaik," katanya.
Beliau berkata adalah menjadi satu kebetulan jika apa yang difikirkannya menyamai fikiran "bukan seorang tetapi empat lima, 10, 20 orang" lain.
"Bila rakyat senang dengan apa yang kita buat, ertinya rakyat tahulah apa yang kita buat itu memenuhi kehendak mereka," katanya .
No comments:
Post a Comment