Saturday, January 31, 2009

[Malaysiakini] Kugan, SPRM, Sayap dan Katak ~ KJ


Tragedi kematian Kugan Ananthan dalam tahanan polis pada 20 Januari lepas menjadi buah mulut masyarakat Malaysia. Apa yang lebih menyedihkan adalah masalah sampingan yang tidak diingini seperti pihak keluarga mendiang Kugan dan pihak polis saling menuduh antara satu sama lain mengenai isu kononnya ada seksaan terhadap mendiang semasa ada dalam tahanan dan pencerobohan bilik mayat Hospital Serdang oleh dua Timbalan Menteri serta ahli keluarga mendiang.

Isu-isu ini perlu dileraikan dengan segera dan tidak digembar-gemburkan kerana, pada dasarnya, semua rakyat Malaysia menginginkan keadilan untuk mendiang jika benar dia dianiayai, dan juga untuk pegawai polis yang dituduh melakukan keseksaan jika benar mereka tidak bersalah. Inilah sebenarnya isu pokok, dan kita perlu memastikan tragedi ini tidak dijadikan isu perkauman. Tragedi ini merupakan kehilangan nyawa seorang insan, tidak kiralah insan itu Melayu, Cina, India atau kaum lain.

Rang Undang-undang Suruhanjaya Aduan Khas bakal dibentangkan YAB Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen selepas sesi Dewan Rakyat dibuka semula bulan hadapan. Barangkali, insiden sebeginilah mampu mengajar kita peri pentingnya diwujudkan suruhanjaya itu untuk menerima dan menyiasat secara objektif sebarang aduan salahlaku polis dan agensi-agensi penguatkuasa yang lain. Penubuhan Suruhanjaya ini bukan untuk cari salah agensi penguatkuasa tetapi juga untuk memastikan agensi berkenaan juga dibela daripada tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

Bercakap mengenai keiltizaman dan kesungguhan agensi-agensi penguatkuasa kita, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru sahaja ditubuhkan nampaknya telah membuka lembarannya dengan permulaan yang hebat. Kita menyanjung dan mengalu-alukan tindakan SPRM yang dilihat aktif namun laporan polis yang dibuat oleh Halimi Kamaruzzaman, bekas Ketua Pemuda UMNO Maran, agak membimbangkan di mana SPRM digambarkan seolah seperti memeras pengakuan daripada beliau.

SPRM seharusnya bersikap berkecuali dan professional. Saya menaruh harapan agar para pegawai SPRM, dengan kuasa luas yang baru diperturunkan oleh Parlimen, tidak akan menyalahgunakan autoriti mereka dengan memaksa orang membuat pengakuan melalui paksaan atau deraan fizikal sepertimana dituduh oleh Halim. Laporan tersebut sedikit sebanyak menjejas imej SPRM sebagai agensi yang berkecuali, adil dan profesional.

Cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, YM Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, yang mahu sayap parti dibubar untuk membanteras masalah politik wang perlu di lihat dengan mata yang terbuka. Namun saya percaya setiap cadangan itu perlu dilihat dari segi kesan praktikalnya.

Sebagai contoh, jika sayap Pemuda dibubar, siapakah yang akan mengisi ruang untuk kerja-kerja Pilihanraya seperti memanjat pokok dan tiang lampu pada pukul tiga pagi untuk menampal poster dan kain rentang? Takkan Pak Menteri dan tokoh veteran parti nak buat kerja tersebut.

Saya percaya kita perlu berterus terang dengan diri sendiri dalam mencari jalan penyelesaian kerana wabak politik wang ini amat mendalam. Ia merupakan masalah yang membelenggu parti UMNO dari keseluruhannya. Lumrah Pemuda ialah kita belajar dari pejuang terdahulu. Bak kata pepatah, ayah kencing berdiri anak kencing berlari. Justeru, langkah yang harus diambil bukanlah menunding jari, sebaliknya kita perlu menggembeling tenaga menguatkan sayap Pemuda dan Puteri agar kita dapat menyalurkan nilai-nilai murni kedalam sanubari setiap ahli baru Pemuda dan Puteri sekaligus membawa UMNO ke destinasi politik berintegriti.

Belum sempat tamat isu 16 September dan melompat parti, isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, YB Dato' Nasharuddin Hashim, meninggalkan UMNO dan bertukar ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali lagi menghangatkan perdebatan tentang integriti dan etika sebagai wakil rakyat. Pengerusi parti DAP YB Karpal Singh awal bulan ini telah menyatakan pendiriannya menentang sebarang pertukaran parti oleh mana-mana wakil rakyat. Saya kini menanti kemungkinan sebarang kenyataan serupa akan dikeluarkan oleh YB Karpal melihat perkembangan baru di Perak ini, terutamanya memandangkan DAP merupakan rakan kongsi terbesar dalam Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak.

Pada hemat saya, beliau kemungkinan besar akan berdiam diri kerana saya percaya dalam Pakatan Rakyat, nafsu memegang kuasa itu lebih besar daripada kesetiaan kepada sebarang pegangan prinsip.

Yang pastinya, wakil rakyat yang dipilih oleh para pengundi seharusnya memikir semasak-masaknya sebelum meninggalkan parti mereka.

Sungguhpun semakin ramai pengundi memilih seseorang calon berdasarkan perwatakan dan kebolehan individu tersebut, masih ramai yang mengundi calon berlandaskan parti yang diwakilinya. Maka kesetiaan kepada parti wajar menjadi pegangan setiap wakil rakyat.

Saya menyeru YB Dato' Nasharuddin bermuhasabah diri. Umum mengetahui bahawa pada PRU-12 beliau telah dipilih sebagai calon DUN Perak, di mana sebelumnya beliau menjadi Ahli Parlimen. Sesudahnya kemenangan Pakatan Rakyat di Perak, barangkali harapan beliau untuk menduduki Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terkubur serta jawatannya sebagai Pengerusi FELCRA tidak disambung. YB Dato' Nasharuddin juga tewas sewaktu bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Parit.

Ternyata beliau sebagai insan biasa akan kecewa dengan perkembangan kerjaya politiknya kebelakangan ini. Saya berharap sebagai insan berintegriti, kekecewaannya ini tidak menyumbang kepada keputusannya untuk melompat parti.

Comment klik disini>> www.rembau.net.my

Sunday, January 11, 2009

Malaysiakini : PAS parti "Kluk-Klek" - KJ

(Gambar : Bro Jinggo)

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan PAS sebuah parti "keluk-kelek" atau tanpa pendirian apabila tidak bersedia melaksanakan hudud selepas didesak oleh rakan kongsinya DAP.

"PAS mudah menarik balik cadangan hendak melaksanakan hukum hudud apabila digertak DAP," katanya, mengulas sikap Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berhubung pelaksanaan hudud dalam satu forum di Kota Bharu yang turut disertai calon ketua Pemuda Umno itu bulan lepas.

"Adakah kita nak pilih parti yang tidak bermaruah, tidak berpendirian dan keluk-kelek itu?"

Sambil mengkritik PAS, beliau juga menyelitkan bahasa loghat dengan telor Terengganu dengan disambut hilaian hampir 200 pendengar yang terhibur dengan gayanya itu.

"Orang Terengganu kata PAS parti 'dok rok cetong' (sangat lemah)," katanya ketika berucap dalam kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu di Kampung Gelugor Raja dalam DUN Wakaf Mempelam malam tadi.

Ahli parlimen Rembau menambah, pilihanraya kecil itu tidak sama dengan pilihanraya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu.

Kawasan parlimen itu, katanya, merupakan kubu kuat ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tetapi Kuala Terengganu adalah kerusi kita, BN menang kita semua akan untung.

"Kuala Terengganu kawasan yang cukup istimewa kerana ada dua timbalan menteri yang tidak pernah ada di kawasan lain," katanya.

Beliau merujuk jawatan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebelum ini sebagai timbalan menteri dalam negeri dan bekas penyandangnya allahyarham Datuk Razali Ismail sebagai timbalan menteri pelajaran.

"Kalau kerja dengan sungguh-sungguh, Wan Ahmad Farid ada peluang jadi timbalan menteri pusat (semula)," katanya.

Tambahnya, beliau mengenali bekas setiausaha Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu seorang tokoh politik muda.

Ayah Wan Ahmad Farid merupakan bekas pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, manakala ibunya pula seorang ustazah, kata Khairy yang dikenali sebagai teman dekat calon BN itu.

Menurutnya, jika BN kalah dalam pilihanraya kecil kali ini, maka tiadalah pembangunan daripada kerajaan pusat kerana kerana tiada perwakilan di peringkat pusat.

"Tetapi kalau (calon PAS) Abdul Wahid kalah pun, beliau tidak rugi apa-apa kerana beliau sudah ada jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam," katanya.

Wan Ahmad Farid berdepan dengan Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam dalam pilihanraya kecil pada 17 Januari ini.

Sumber : Malaysiakini